22 Mei 2009

Takut Pada Penilaian Manusia Tetapi Penilaian Allah...?

Minggu ini aku dikejutkan dengan pelbagai ujian.Pertama, audit keselamatan pengurusan trafik. ke-dua, lawatan daripada Pihak lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan juga Jawatankuasa Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP). Semuanya berlaku secara mengejut.

Wujudlah rasa bimbang yang amat sangat dalam hati, bagaimanakah dengan laporan audit, komen daripada CIDB dan PKK yang akan keluar nanti.Kalau keputusannya Ok tak ada masalah, tapi kalau sebaliknya, macam-macam la halnya nanti.lalu kelam kabutlah membuat persediaan terakhir dan berdoalah semoga Allah mempermudahkan urusan aku. Alhamdulillah hasilnya tiadalah mengecewakan.

Lalu terfikirlah aku tentang sifat takut kita kepada penilaian manusia yang membuatkan kita rasa tak tentu arah, tak tidur malam, bimbang, resah dan mula nak marah orang bawahan.

Tapi...

Bagaimana pula penilaian daripada Allah, kadang-kala rasa macam biasa sahaja.
Bagaimana keadaan kematian? Bagaimana penilaian oleh Malaikat ketika dalam kubur? Bagaimana keadaan meniti titian sirat, bagaimana penghisaban daripada Allah.

Sedangkan semuanya ini pasti berlaku. Cuma mungkin sangkaan bahawa hidup ini masih jauh lagi, membuatkan persediaan yang harus dilakukan tidak dibuat. Dunia diutamakan dan akhirat kemudian cerita. Bila dalam kesusahan, mulalah ingat kepada Allah.

Semoga semua ini akan menginsafkan aku. Ya Allah, ampunilah aku, sesungguhnya aku lalai dalam menunaikan tanggungjawabku sebagai seorang hamba. Berikanlah petunjuk dan hidayah kepada ku. Amin...

Renungkanlah Kata-Kata Allah dalam surah Al-Qiamah

75: 12.
Pada hari itu, kepada Tuhanmu lah sahaja terserahnya ketetapan segala
perkara.

75: 13.
Pada hari itu, manusia diberitahu akan apa yang ia telah lakukan, dan apa
yang ia telah tinggalkan.

75: 14.
Bahkan manusia itu, (anggotanya) menjadi saksi terhadap dirinya sendiri,

75: 15.
Walaupun ia memberikan alasan-alasannya (untuk membela diri).

75: 20.
Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan
kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (Kesenangan dan kemewahan
dunia) yang cepat habisnya.

75: 21.
Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi
kehidupannya).

75: 22.
Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri;

75: 23.
Melihat kepada Tuhannya.

75: 24.
Dan pada hari itu, muka (orang-orang kafir) muram hodoh,

75: 25.
Sambil percaya dengan yakin bahawa mereka akan ditimpa malapetaka (azab
seksa) yang membinasakan.

75: 26.
Sedarlah (janganlah mengutamakan dunia dan melupakan akhirat. Ingatlah akan
hal orang yang hendak mati) apabila rohnya sampai ke pangkal kerongkong,

75: 27.
Dan (orang-orang yang hadir di sisinya heboh) berkata: "Siapakah yang dapat
menawar jampi (dan mengubatnya)?"

75: 28.
Dan ia sendiri yakin, bahawa sesungguhnya saat itu saat perpisahan;

75: 29.
Serta kedahsyatan bertindih-tindih;

75: 30.
(Maka) kepada Tuhanmu lah - pada waktu itu - engkau dibawa (untuk menerima
balasan).

Tiada ulasan:

Template by:
Free Blog Templates