27 April 2009

"Taat Kepada Kedua Ibu Bapa"


Tajuk Khutbah Jumaat 24 April 2009.

Dalam perjalanan pulang ke Kuantan, aku telah singgah di Masjid Fajar, Jalan Gambang untuk menunaikan solat jumaat.

Khutbah pada hari itu berkenaan dengan Ketaatan kepada Kedua Ibu Bapa.Teringat aku ketika menjadi pembaca tazkirah pada program Ukhuwah Keluarga 2009 januari lalu.

Terdapat dua ayat suci al-Quran yang dibacakan oleh Khatib pernah aku bacakan kepada semua ahli keluargaku sebagai peringatan dan nasihat. Aku telah menayangkan video animasi Al-Qamah yang telah mengecewakan ibunya kerana mengutamakan isterinya. Aku juga menayangkan video kelahiran melalui pembedahan untuk diambil iktibar.

Dua ayat itu adalah...

1) Ayat ke 14 Surah Luqman (Surah ke-31)

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”



2) Ayat ke 23 Surah Al-Isra' (Surah ke-17)

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Semoga dengan nasihat dan peringatan ini kita akan sentiasa mengingati kedua ibu bapa kita dan Ibu khususnya telah menanggung berbagai kelemahan demi kelemahan daripada awal mengandung, ketika mengandung dan selepas bersalin....

"Ya Allah, Ampunilah dosa dan kesalahan kami juga dosa dan kesalahan kedua ibu bapa kami, peliharalah mereka ya Allah sepertimana mereka memelihara kami ketika kami masih kecil. Amin...

Tiada ulasan:

Template by:
Free Blog Templates